Bahagian 1
Petikan Akhbar
Mingguan Malaysia - Ahad 30 Januari 2000
HUKUM BERSALAMAN DENGAN WANITA
SOALAN:
Apa hukum seorang lelaki Muslim bersentuh kulit atau bersalaman dengan wanita yang bukan mahramnya.
Saya
melihat salah seorang ustaz di kaca TV bersalaman dengan seorang
pengacara perempuan. Apa pendapat Dr. mengenai hukum bersalaman ini,
harus atau haram. : AZMI, KL.
JAWAPAN oleh Dr. Abdul Hayei Bin Abdul Sukor – Akademi Pengajian Islam
Dengan
terus terang saya nyatakan di sini, soalan saudara lebih merupakan
soalan peperiksaan objektif, yang meminta supaya menandakan sahaja
jawapan pada dua kotak yang disediakan, sama ada ya atau tidak.
Soalan
di atas tidak boleh dijawab secara objektif, kerana bersalaman dengan
wanita mahram itu ada yang halal dan ada yang haram. Saya akan nyatakan
kemudian.
Saudara
membuat suatu tanggapan yang tidak tepat apabila mengukur baik dan
buruk dengan amalan seorang ustaz yang anda saksikannya di kaca TV.
Saudara
tidak disuruh mencontohi ustaz itu, tetapi contohilah nabi. Ustaz tidak
kebal daripada dosa sekebal malaikat, ia manusia biasa, kadang-kadang
terpaksa bergelut dengan syaitan, lalu ia kalah, mungkin kerana
syaitannya lebih besar daripada syaitan yang pernah bergelut dengan
manusia biasa.
Dua masalah
Sebelum
membincangkan hukum bersalaman dengan wanita mahram ada dua masalah
yang telah diputuskan dan disepakati ulama. Jarak antara dua masalah ini
agak jauh, sejauh jarak antara A dan Z yang dipisah oleh beberapa huruf
abjad. Sebahagiannya memihak kepada A manakala sebahagian yang lain
pula kepada Z.
Dua masalah yang saya maksudkan ialah:
Pertama:
Haram bersalaman dengan mana-mana wanita, sama ada mahram atau bukan
mahram, jika disertai kebangkitan nafsu sama ada oleh kedua-dua atau
salah satu pihak, atau dibimbangi berlaku fitnah pada salam-salaman itu.
Lapik
atau tidak bukan ukurannya disini, kerana apabila ertinya pihak
pertemuan antara dua tapak tangan, jika pertemuan antara mata, hati dan
suara telah mendahului.
Saya
katakan nafsu dan fitnah yang beriringan salaman itu menentukan haram
halalnya. Kadang-kadang hubungan antara bapa tiri dengan anak tiri, ibu
mentua yang hampir sebaya umur, antara adik-beradik sesusu pun pernah
menggegarkan nafsu.
Atas
prinsip ini, bersalaman sesama lelaki pun haram juga, jika ada nafsu
yang tidak normal terhadapnya. Kejadian-kejadian seks di luar tabii pada
saya merupakan sebaik-baik contoh. (Nafsu sebagai penentu hukum, sila
lihat al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar 4/155).
Kedua:
Harus bersalaman dengan wanita tua atau budak perempuan kecil yang
tiada keinginan nafsu lagi terhadapnya, kerana tidak timbil fitnah di
sebalik salam-salaman itu.
Demikian
juga hukum bersalaman antara lelaki dan wanita yang sama-sama tua dan
telah melepasi usia nafsu atau keinginan seks. Mereka harus bersalaman,
kerana tidak ada apa yang dibimbangi terhadap mereka. Ada riwayat
menyebutkan, Abu Bakar r.a pernah bersalaman dengan seorang wanita tua.
Demikian juga dengan Abdullah Ibn al-Zubair yang pernah memberi upah
seorang tua untuk memicit kepalanya ketika beliau sakit (Lihat sumber
terdahulu, halaman 155-156).
Bagi
memperkukuhkan keharusan bersalam-salaman dengan wanita tua, kerana
ketiadaan nafsu. Sila lihat ayat 60 dalam surah al-Nur yang menyatakan
hukum al-Qawa’id min al-Nisa. (Wanita tua yang telah putus haid). Mereka
dikecualikan pada menutup bahagian-bahagian badan yang wajib ditutup
oleh wanita-wanita muda yang belum putus haid.
Begitu
juga dengan ayat 31 surah al-Nur yang mengecualikan kanak-kanak lelaki
yang belum berkeinginan terhadap seks, mereka boleh keluar masuk dalam
majlis wanita tanpa perlu wanita menutup aurat mereka. Keharusan ini
disebabkan tiada fitnah padanya.
Selain
dua masalah yang telah diputuskan atau disepakati ulama itu, banyak
lagi masalah yang wajar diteliti dengan mendalam. Percambahan fikiran
sekitar ada atau tiada fitnah masih boleh dikembangkan oleh para
sarjana, supaya hukum tidak terlalu ketat, pada tempat yang boleh
dilonggarkan dan tidak terlalu longgar pada tempat yang perlu
diperketatkan.
Sebagai
contoh, pendapat yang mengatakan wanita hendaklah ditutup seluruh
tubuhnya, meliputi muka dan dua tangan. Tidak syak lagi pendapat ini
turut mengharamkan bersalam-salaman antara lelaki dan wanita yang ukan
mahram, kerana tangan yang wajib ditutup dan haram dilihat oleh lelaki
ajnabi, dengan sendirinya haram dipegang, apalagi disentuh kulitnya.
Pendapat
yang mengatakan tangan dan muka itu wajib ditutup, bukan pendapat
majoriti atau jumhur ulama. Kebanyakan mereka mengharuskan muka dan
al-kaffayn (dua tangan) dibuka.
Soalan
yang timbul disini ialah, apa alasannya jika dikatakan haram bersalaman
antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, sekalipun tidak disertai
nafsu.
Kita
boleh terima jika alasannya Sadd al-Zariah (tutup pintu-pintu maksiat),
itu pun jika ada tanda-tanda maksiat boleh berlaku, tetapi bagaimana
pula jika tanda-tandanya tidak ada? Sebagai contoh, bersalaman dengan
sepupu perempuan kita yang baru pulang dari luar negara atau pada
hari-hari perjumpaan keluarga.
Ada
pendapat mengatakan, nabi tidak pernah bersalaman dengan wanita,
sekalipun ketika berbai’ah dengan mereka seperti dalam peristiwa
pembukaan Mekah.
Alasan
ini dijawab oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi sebagai tidak tepat, kerana ada
sumber-sumber lain menyatakan bahawa nabi bersalaman dengan mereka.
Meskipun Aisyah bermatian-matian menafikannya. (Lihat tafsiran surah
al-Mumtahanah dalam Sahih al-Bukhari).
Bahagian 2
Petikan Akhbar
Mingguan Malaysia - Ahad 30 Januari 2000
HUKUM BERSALAMAN DENGAN WANITA
Dalil haram
Ada sesetengah ulama mengemukakan riwayat al-Tabarani daripada Ma’qal Ibn Yasar daripada nabi sebagai dalil haram bersalaman.
Hadis
itu bermaksud: Andainya seorang kamu menikam kepalanya (membunuh diri)
dengan besi tajam, lebih baik baginya daripada yamassa seorang perempuan
yang tidak dihalalkan baginya.
Perkataan
yamassa dalam bahasa Arab mempunyai sekurang-kurangnya dua erti,
termasuk setubuh dan sentuh kulit dengan kulit. Baginda biasanya tidak
selesa menyebut terang-terang perkataan setubuh, sebaliknya menyebut
sentuh yang meliputi kegiatan mukadimah persetubuhan. Dengan erti ini,
hadis di atas belum cukup alasan bagi golongan yang berpendapat haram,
haram bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
Selain
bahasa, kesahihan hadis di atas juga masih boleh dipersoalkan, walaupun
menurut al-Munziri jalan sanad hadis itu. Sahih. Dr. Yusuf al-Qaradawi,
yang mempersoalkan kesahihan hadis ini berkata, jika hadis di atas
cukup syarat-syarat kesahihannya, mengapa ia tidak diriwayatkan dalam
enam sunnah hadis dan mengapa ia tidak popular di kalangan ulama fikah
dalam beberapa abad pertama, sedangkan mereka pernah membincang hukum
bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan.
Ada
riwayat Malik Ibn Anas menyatakan, Nabi s.a.w membiarkan tangannya
dimain oleh hamba-hamba perempuan dari Madinah. (Bukhari, kitab al-Adab,
fath al-Bari, 13/230).
Dalam
riwayat Bukhari dan Muslim juga menyatakan Nabi s.a.w pernah tidur
tengah hari di rumah Ummi Haram binti Milhan, kepalanya berbantalkan
pangkuan Ummi Haram yang memicitnya. (Fath al-Bari – 13/230 – 231).
Berdasarkan
hadis ini, bersalaman dan persentuhan antara kulit lelaki dan perempuan
ajnabi diharuskan, seperti yang berlaku antara kedua-dua pihak tidak
menyimpan nafsu terhadap satu sama lain dan tidak pula menimbulkan
fitnah.
Bersalaman
dengan wanita bukan mahram dengan aman tanpa fitnah, bukan sesuatu yang
luar biasa bagi manusia biasa dan dalam keadaan-keadaan tertentu
seperti ketika menyambut kepulangan dari luar negara, ketika ziarah
keluarga yang terdiri daripada sepupu-sepupu dan sebagainya.
Bagaimanapun
sekali lagi perlu diingatkan, bersalam-salaman antara lelaki dan
perempuan hanya diharuskan dengan dua syarat yang sangat mustahak
diambil perhatian.
1)
Tiada nafsu dan tiada fitnah yang mungkin berlaku pada bersalaman itu.
Jika ada fitnah dan nafsu, maka haram bersalaman, sekalipun ibu saudara
yang haram dikahwini. Bahkan sesama lelaki juga diharamkan jika ada
menyimpan niat kotor di sebaliknya.
2)
Keharusan bersalaman itu hanya pada ketika dan dalam suasana tertentu
sahaja, ia tidak harus diperluaskan. Sebaik-baiknya bagi seorang Muslim
tidak bersalaman dengan wanita yang bukan mahramnya, tidak lebih dahulu
menghulur tangan, kecuali apabila dihulur.
Bersalaman
dengan wanita, masih merupakan suatu bidang ijtihat yang masih terbuka
kepada para ahli, janganlah mudah membuat ulasan, semata-mata kerana
kita tidak mempunyai pengetahuan yang cukup padanya.
No comments:
Post a Comment